Tuesday, 7 May 2013

TAFSIR AL-FATIHAH: Malikiyawmiddin... (Peringatan aqidah, Hari yang tiada alasan, Ingatlah kerajaan... Ingatlah pemerintah...)


Maalik (Yang Menguasai)
Yaumiddin (Hari Pembalasan): hari yang diwaktu itu masing-masing manusia menerima pembalasan amalannya yang baik maupun yang buruk. Yaumiddin disebut juga yaumulqiyaamah, yaumulhisaab, yaumuljazaa' dan sebagainya.

Ayat ini merupakan pokok kepada akidah umat Islam bahawa percaya kepada:

1. Hari pembalasan
2. Allahlah yang menguasai hari pembalasan. Allah yang menguasai hari pembalasan dan tidak boleh tidak kita akan kembali kepadaNya.

Ayat ini juga memberi kita satu rasa kelegaan bahawa yang mengusai dan mengendalikan hari pembalasan ialah Allah yang Maha Adil. Ini kerana ramai yang merasakan bahawa undang-undang dunia ada yang tidak adil dan tidak mungkin dapat mengadili manusia seadil yang sepatutnya. Kemudian Allah menyatakan bahawa kerana Dialah yang menguasai hari pembalasan, maka tidak perlu dikhuatiri akan keadilanNya.



(1) Suatu Peringatan...
 
Apabila Allah menerangkan bahawa Dialah “Yang memiliki hari pembalasan”, ia memberi kesedaran kepada kita semua pada Hari Akhirat kelak, Allah jualah yang memiliki segala-galanya. Ini kerena ketika kehidupan di dunia ini, kita sering lupa kepada Allah, lupa kepada pelbagai nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita, lupa kepada sifat ar-Rahman dan ar-Rahim yang Allah limpahkan kepada kita. 

Sebenarnya, baik di kehidupan dunia mahu pun akhirat, Allah jualah pemiliki segala-galanya. Pemilik apa yang kecil mahu pun besar, pemilik apa yang dapat kita lihat atau yang tersembunyi. Namun kehidupan dunia yang serba menyenangkan ini sering menyebabkan kita lupa kepada Allah, lupa kepada pemilikian-Nya.
 
Ada pun di Hari Akhirat, suasana yang dahsyat lagi menggerunkan di sana menyebabkan manusia tidak lagi lupa. Mereka akui tanpa ragu bahawa Allah adalah Raja yang memiliki segala sesuatu.
 
Di sini terdapat hikmah mengapa Allah menyusun ayat "Malikiyawmiddin" selepas ayat "ar-Rahman al-Rahim". Ia seolah-olah memberi peringatan kepada kita semua bahawa dalam suasana kemurahan dan kasih sayangNya di dunia ini, janganlah kita lupa atau menyalah-gunakannya kerana setiap seorang dari kita akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan pada Hari Akhirat kelak.


(2) Hari Yang Tidak Ada Alasan
 
Ketika pengadilan di hari pembalasan kelak, kita tidak lagi diberikan kebebasan untuk berhujah, jauh sekali daripada membuat alasan bagi membela diri sendiri. Allah menerangkan hakikat ini dengan firman-Nya: 

"Pada hari itu lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. [al-Nur 24:24] 
 
Apabila kita membaca ayat-ayat di atas, hendaklah segera insaf tentang apa yang kita lakukan ketika di dunia ini. Tangan-tangan misalnya, hendaklah kita perhatikan apa yang kita taip dalam emel, SMS, Viber, WhatsApp, Facebook, Tweeter dan pelbagai lagi. Ini kerana tangan kita dengan sendirinya akan menerangkan apa yang kita taip di Hari Pembalasan kelak, khususnya jika ia merupakan sesuatu yang memburukkan orang lain, membuat fitnah dan menyebarkan gossip.
 
Apa yang kita cakap dan taip berkenaan orang lain bukan sahaja akan didedahkan pada Hari Pembalasan kelak, tetapi ia bakal menjadikan kita muflis

Daripada Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah bertanya: “Tahukah kalian siapa orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Bagi kami muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta.”
Lalu (Rasulullah) menjelaskan: “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan (membawa pahala) solat, puasa, zakat, akan tetapi (semasa di kehidupan dunia) dia pernah mencaci seseorang, menuduh seseorang (tanpa bukti), memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang.
Maka akan diberikan kepada orang yang dia pernah zalimi itu dari pahala kebaikannya sendiri (pahala solat, puasa zakat) dan begitulah seterusnya kepada orang lain yang dia pernah zalimi itu. Jika telah habis pahala kebaikannya sementara masih berbaki kesalahannya kepada orang-orang yang pernah dia zalimi di dunia dahulu, maka akan diambil dosa kesalahan orang yang dia zalimi itu dan dibebankan ke atasnya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka. [Shahih Muslim: 2581]
 
Setiap kali kita membaca surah al-Fatihah, janganlah kita lupa kepada Hari Pembalasan. Hendaklah kita fikir dan renung apa yang kita sediakan untuk hari tersebut sebagaimana firman Allah: 

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan". [al-Hasyr 59:19]

 
(3) Ingatlah Kerajaan!!!

Di hari pembalasan ini Allah akan menyeru kepada semua penguasa dan raja agar dibandingkan dengan kekuasaanNya pada hari tersebut. Ia jelas dinyatakan dalam surah al-Buruj, umpama tazkirah secara sindiran kepada golongan penguasa ini.

Allah melaknat golongan pemerintah yang menggunakan kekuasaan mereka untuk menghancurkan manusia yang lemah. Sebagai contoh kemunculan raja-raja Yahudi yang kemudiannya menggunakan kekuasaan untuk menghancur manusia beriman, [al-Buruj : 4-7],

قُتِلَ أَصْحَابُ الأُخْدُودِ(٤)النَّارِ ذَاتِ الوَقُودِ(٥)إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌ(٦)وَهُمْ عَلَى مَا يَفْعَلُونَ بِالمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ(٧)

"Binasa dan laknatlah orang-orang yang membuat parit. Yang berapi kayu bakarnya. Ketiak mereka duduk di sekitarnya. Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka buat terhadap orang-orang beriman".


(4) Nasihat Kepada Pemerintah.

Nasihat adalah perlu diberikan kepada golongan pemerintah secara berhikmah dan mengikut methodologi zaman. Para pemerintah memerlukan nasihat yang sesuai dengan statusnya. Bukan semua pemerintah akhir zaman boleh berlapang dada seperti Umar Al Khattabra

Lihatlah bagaimana Sheikh Daud al-Fatani menyelitkan bab Kerajaan dalam kitab terkenalnya berkenaan solat iaitu Muniatul Musolli. Lihatlah betapa seninya ulama' silam. Mereka memberi ingatan secara hikmah apabila Raja Patani ketika itu meminta beliau menyiapkan risalah berkenaan solat khusus untuk baginda. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis