Tuesday, 7 May 2013

TAFSIR AL-FATIHAH: Iyyaka na'budu waiyyaka nasta'in... (Isti'anah dari golongan fasiq)



Hanya kepada Engkau sahajalah kami menyembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan.


Na'budu diambil dari kata 'ibadat: kepatuhan dan ketundukkan yang ditimbulkan oleh perasaan terhadap kebesaran Allah, sebagai Tuhan yang disembah, karena berkeyakinan bahawa Allah mempunyai kekuasaan yang mutlak terhadapnya.

Nasta'in (minta pertolongan), dari kata isti'anah: mengharapkan bantuan untuk dapat menyelesaikan suatu pekerjaan yang tidak sanggup dikerjakan dengan tenaga sendiri.


Tafsiran:

Iyyakana'budu

Perhatikan bahawa ayat ini dimulakan dengan satu bentuk penegasan dan pembatasan, iaitu Hanya kepada Engkau sahajalah…. Ia bererti sejak awal kita menegaskan bahawa ibadah dan doa adalah hanya kepada Allah sahaja, tidak lain dan tidak bukan hanyalah kepada Allah.

Kenapa perlu menegaskan dan membataskan bahawa ibadah hanya kepada Allah? Bukankah kita umat Islam sememangnya tidak menyembah pokok, batu, sungai, matahari,  dan apa-apa lain lagi?


Sebenarnya secara bawah sedar, ada di antara umat Islam yang menyembah selain Allah, atau menyembah sesuatu lain bersama Allah. Salah satu sembahan yang lain ialah dengan menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Allah bertanya dalam bentuk sindiran:  

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya, tuhan yang dipatuhinya?" [al-Jathiyah 45:23]

 
Antara bentuk sembahan kepada hawa nafsu ialah sengaja mengkuti kehendak nafsu dengan mengabaikan tunjuk ajar Islam atau menggunakan nafsu untuk menilai sama ada sesuatu perintah-larangan Islam sesuai atau tidak untuk dilaksanakan pada zaman moden kini.

Manusia diciptakan di dunia ini dengan satu tujuan utama: iaitu beribadat dan menyembah Allah swt. Firman Allah: 

"Dan tidak Aku menciptakan Jin dan Manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu" [al –Dzariyat: 56]

Di atas keutamaan ini, sekurang-kurangnya selama 17 kali kita akan mengulangi ayat ini di dalam solat kita untuk meyakinkan diri kita bahawa kepada Allahlah kita menyembah. Namun begitu, kita juga harus menyakini akan satu perkara: Kita menyembah Allah ialah dengan cara kita mentaatiNya


Iyyakanastain

Rangkap ini pula menjadi penegasan dan peringatan kepada diri kita bahawa apabila memiliki apa-apa hajat atau kesukaran, maka tidak lain tidak bukan kepada Allah sahajalah kita berdoa meminta pertolongan.

Bukanlah bererti kita tidak boleh meminta pertolongan daripada sesama manusia. Hanya dalam kes ini, kita beriktikad (berkeyakinan) bahawa Allah jualah yang menolong kita melalui orang tersebut. Ini kerana kita kerap kali lupa kepada Allah apabila menghadapi sesuatu hajat atau masalah, lalu meminta pertolongan kepada sesama manusia dengan hati yang amat mengharapkan pertolongan daripada manusia itu semata-mata.

Firman Allah: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohanan kamu." [al-Mukmin : 60]


Perbahasan Istia'nah.

Apabila kita berbahas mengenai pertolongan iaitu istia'nah Allah kepada kita, kita tidak akan terlepas daripada memandang pertolongan itu sebagai Nasrullah atau bantuan Allah yang maha Kaya. Nasrullah lebih manfaatnya kepada golongan muslimin kerana bantuannya akan melemahkan musuh Islam dengan perantaraan tentera malaikat. Inilah bantuan yang dicita-citakan oleh para mujahidin.

Dalam bab istia'nah kita dibolehkan mendapatkan pertolongan daripada golongan kafir, munafiq, fasiq. Ini terbukti apabila Rasulullah saw telah membenarkan Abdullah Bin Ubai turut serta dalam beberapa siri peperangan baginda. Juga peristiwa Abu Mahjan yang mabuk menyertai peperangan menentang Parsi.

Dalam meminta pertolongan kaum kafir ulama' berkhilaf:

* Imam Malik dan Ahmad tidak mengharus secara mutlak.
* Imam Abu Hanifah mengharuskan dengan syarat Islam yang mendominasi.
* Imam Syafii'e mengaruskan dengan syarat umat Islam benar-benar terdesak dan golongan kufur cenderung kepada kita.

Rasulullah saw pernah menghantar tamar dan memberi 5 ratus dinar kepada Quraisy Mekah semasa dilanda kemarau. Jadi sini kita boleh meminta pertolongan dalam persefahaman yang membawa kearah kebaikan (tahalluf), dan boleh memberi pertolongan juga kepada mereka, atas sifat Rahman dalam jiwa pendakwah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis