Sunday, 12 May 2013

TAFSIR AL-FATIHAH: AYAT-AYAT TERAKHIR (Syarat Jalan Nikmat, Sikap Yahudi, Kesesatan Nasrani,


 صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

"Jalan orang-orang yang Engkau nikmatkan ke atas mereka. Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.


Maka selepas kita melihat maksud kemuncak Al fatihah iaitu ayat yang ke-6, perlu kita tahu rahsia di sebalik jalan tersebut. Jalan yang kita pohon tersebut mengandungi taqyid (syarat)nya yang tersendiri. Dalam ayat ke-7 ini kita akan mengenalpasti syarat tersebut. Semestinya jalan yang kita pilih adalah jalan yang dinikmatkan Allah akan golongan terdahulu dan akan datang. Jalan atau disebut tali sejahtera ini merupakan nikmat yang tertinggi. Sebagai makhluk yang lemah, kita memerlukan bantuan Pencipta kita untuk memandu akal kita dalam memilih jalan hidup kita samada jalan taqwa ataupun jalan fujur. Betapa pentingnya dan besarnya nilai doa, untuk mendapatkan bantuan dari Tuhan. Inilah yang perlu kita fikirkan. 

Matlamat perjuangan para pendakwah ialah :

 * Memperbaiki Aqidah umat manusia sekeliling yang telah diselaputi karat penyelewengan baik daripada pihak musuh Islam atau umatnya sendiri yang menjadi pesuruh musuh Islam. Inilah kerja tetap para anbiya' dan mursalin. Kerja Aqidah adalah kerja asasi para pejuangn Islam. Matlamat perjuangn baik dengan method ziarah, method bengkel, seminar, tazkirah atau mata pena, matlamatnya adalah membina generasi ubudiyyah. Adapun matlamat pembinaan masyarakat dan negara adalah matlamat sementara yang membawa kepada matlamat agung ini.

* Memperbaiki akhlak dan sikap. Akhlak manusia adalah berpandukan kepada sistem Aqidah. Akhlak yang kukuh akan dimanifestasikan daripada Aqidah. Usaha memoralkan masyarakat adalah sia-sia jika lunas Islam tidak dipenuhi kerana Sistem Islamlah yang boleh memugar sikap, gelagat, tanggapan dan perilaku.

* Memperbaiki sistem pengurusan dunia. Ini bermula dengan pengurusan keluarga menurut Al Quran dan Sunnah, pengurusan masyarakat, negeri, Negara dan diplomasi negara menurut Islam.

Kesemua matlamat pendakwah ini adalah memerlukan pemilihan jalan yang sejahtera dan taqwa. Inilah jalan yang penuh ranjau dan berduri. Hassan Al Banna dalam ceramahnya pada awal penubuhan Ikhwan selalu mengingatkan pengikutnya akan cabaran, siksaan, dilema dan kesusahan mendatang walaupun kesusahan tersebut hanya berlaku sekitar 10 tahun selepas ucapan tersebut. Ini menunjukkan sekiranya kita memilih jalan taqwa sekalipun kita tidak akan terlepas daripada kesusahan akibat manusia yang berhati Iblis.

Golongan yang dijamin mendapat nikmat melalui jalan sejahtera adalah;

* Rasul dan Nabi
* Syuhada' yang menyaksikan keesaan Allah melalui penjualan nyawanya sendiri.
* Para solehin yang beramal.
* Golongan mujahidin yang istiqamah, serta golongan-golongan lain yang dijamin melalui ayat Al Quran sendiri.

Siapakah yang dimurkai?

Marilah kita mengenal golongan yang dimurkai ini. Dikatakan oleh Ulama' mufassirin, golongan yang cuba ditonjolkan dalam ayat ini ialah golongan Yahudi.

Allah telah menjelaskannya dalam sebuah ayat yang lain: Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang (Yahudi) yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. [al-Maidah 5:60]

Apakah sikap Yahudi?

* Mereka bongkak dengan Allah. Mereka juga bongkak dengan manusia yang lain. Mereka bangga dengan keturunan Nabi Yaakub mereka dan dikurniakan lebih kurang 4000 Nabi yang bukan Rasul! Mereka banyak sekali mencabar para Nabi, banyak bertanya soal remeh seolah mengolok-olokkan Allah serta inginkan bangsa lain tunduk kepada mereka walau dimana mereka berada.

* Mereka amat memusuhi Nabi yang selain Nabi Musa A.S. sebabnya ialah, Nabi Musa telah memberi kehormatan dan maruah yang tinggi kepada mereka serta menyelamatkan mereka dengan pelbagai mukjizat. Mereka adalah penentang Nabi Samuel semasa Nabi ini memutuskan agar Talut yang mengetuai mereka menawan Palestin kembali daripada tentera Jalut (golongan Arab Kana'n). Mereka telah sepakat untuk membunuh Nabi Isa A.S walaupun Nabi Isa diutus daripada kaum mereka sendiri. Mereka berkonspirasi dengan Yahuza dan akhirnya memakan dirinya sendiri. Mereka bencikan nabi Daud dan Sulaiman serta Yahya dan Zulkifli.

* Mereka adalah rasist ! Mereka mengesyorkan teori Darwin dan Komunisme (class struggle) yang memakan nyawa jutaan umat manusia. Teori persaingan gila ini diterapkan secara revolusi dan mengejut sehingga teori ini memakan sendiri para penciptanya. Mereka atas sangkaan bahawa golongan selain Yahudi adalah golongan Goyyim (babi) yang tidak setaraf dengan mereka. Atas cetusan mereka Nazi dan Fasis Itali juga bangkit untuk menonjolkan ras mereka yang mengakibatkan suasana lebih buruk.

 Mereka telah dilaknat dengan lisan nabi mereka sendiri iaitu Nabi Allah Daud dan Isa.

Firman Allah,

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ

"Telah dilaknat akan orang kafir daripada golongan Bani Israel menerusi lisan Daud dan Isa Bin Maryam disebabkan mereka derhaka dan mereka melanggar (peraturan)"(Surah Al Maidah : 78)



Siapakah golongan yang sesat?

Dalam hal ini, ulama' mengatakan golongan ini ialah golongan Nasrani yang kini dijelmakan dalam agama Kristian.

firman Allah: Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum (sebelum zaman Muhammad) yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul. [al-Maidah 5:77]
 
Perlu diingatkan Kristian hari ini bukan lagi ahli kitab sebagaimana golongan Nasrani dahulu. Ajaran mereka telah lama diselewengkan oleh golongan Rom sewaktu kebangkitan Tamadun Rom dahulu. Kerajaan Rom membuat re-branding kepada agama Nasrani dengan mengatakan bahawa Nabi Isa lah anak tuhan yang digelar Kristos (bahasa Rom kuno bermaksud orang yang suci). Lantaran itu ajaran Nasrani yang diwarisi daripada orang-orang Hawariyyun telah dinamakan Christ dan orang yang menganutinya dipanggil Christian. Maka lambang salib mula digunapakai dan mazhab pertama ditubuhkan adalah Gereja Roman Khatolik. Pada dasarnya mereka mewarisi ajaran Nabi Isa. Walaubagaimanapun selepas dirosakkan Aqidah tersebut, maka ajaran ini mula menyimpang daripada ajaran sebenarnya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis