Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam
ALHAMDULILLAH.
Pujian Allah pada diriNya, sebenarnya mengandungi
tuntunan kepada hambaNya supaya mereka memuji Allah, seakan-akan
Allah memerintahkan, "Bacalah olehmu Alhamdulillah".
Perkataan "AL" pada alhamdu itu mengindikasikan bahawa tahmid hanyalah untuk
Allah swt dan bukannya yang lain. Kita boleh berterima kasih
kepada manusia, tetapi BERSYUKUR hanyalah untuk Allah swt. Di larang
sama sekali bersyukur untuk manusia. Kerana itu, Al hamdullilah -
tahmid/ syukur puji-pujian dan kesyukuran hanyalah untuk Allah
semata-mata.
Ibn Abbas berkata, "Alhamdulillah adalah satu puji-pujian.
Apabila seorang hamba berkata alhamdulillah, Allah berkata, "HambaKu
telah memujiKu.'' (Riwayat Ibn Abi Hatim)
Jabir bin Abdullah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda: "Seutama-utamanya zikir ialah "Lailahaillallah",
dan seutama-utamanya doa ialah "Alhamdulillah". (HR. at-Tirmidzi, hadis
Hasan Gharib).
Anas. bin Malik ra. berkata, Nabi saw. bersabda:
"Tiadalah Allah memberi nikmat kepada seorang hambaNya, kemudian hamba
itu mengucapkan "Alhamdulillah", melainkan apa yang diberi itu lebih
utama daripada apa yang ia terima. (Yakni ucapan "Alhamdulillah" itu lebih
besar nilainya dari nikmat dunia itu). (HR. Ibnu Majah).
RABBIL'ALAMIN.
Ar-Rabb adalah pemilik yang mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas harta
miliknya. Ar-Rabb, dari segi bahasa bermaksud, penguasa atau seseorang
yang mempunyai kuasa untuk memimpin. Apabila berdiri sendiri, perkataan
ini hanyalah untuk Allah semata-mata.
'Alamin adalah perkataan jama' bagi Alam. Dari segi saintifiknya ini
membuktikan bahawa Islam telah mengetahui bahawa alam ini adalah lebih
dari satu alam (dunia) sahaja. Ada alam ghaib (malaikat, jin, syaitan)
dan juga alam lain seperti planet bumi, bima sakti, adromeda, dan
mungkin juga black hole, dan sebagainya.
Alam ialah segala sesuatu selain Allah. Maka
Allah Rabb dari semua alam itu sebagai pencipta, yang memelihara,
memperbaiki dan menjamin. Firman Allah: "Fir'aun bertanya, "Apakah rabbul alamin itu?"
Jawab Musa, "Tuhan Pencipta, Pemelihara penjamin langit dan bumi dan apa
saja yang di antara keduanya, jika kaMU mahu percaya dan yakin." [Al- Syu'ara: 23-24]
(1) Allah, Tuhan Alam Ini.
Keimanan dan pujian kita kepada Allah sebagai Rabb alam ini menjadikan kita hanya berharap dan berdoa kepada Allah apabila menghadapi sesuatu kesulitan, dan
memanjatkan kesyukuran atas apa-apa kebaikan. Ini kerana hanya Allah sebagai Rabb alam ini yang dapat mengabulkan doa dan membantu kita. Hanya Allah sebagai Rabb alam ini yang
layak kita katakan “Terima kasih” yang sebenar-benarnya.
(2) Semua Manusia Mempercayai
"Dan sesungguhnya jika engkau
(wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah
yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan
dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu
mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad):
“Alhamdulillah” (sebagai bersyukur
disebabkan pengakuan mereka yang demikian), namun kebanyakan
mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). [al-Ankabut 29:63]
Apabila manusia percaya kepada kewujudan Allah sebagai Rabb alam ini, ia tidak cukup untuk menjadikan mereka sebagai seorang muslim. Ini kerana seorang
muslim bukan sahaja beriman kepada Allah sebagai Rabb
tetapi juga tunduk patuh kepada segala perintah dan larangan Allah.
Seorang muslim akan menjadikan seluruh hidupnya kepada Allah
sahaja, sebagai bukti pengakuan bahawa Allah sahaja adalah Rabb alam ini:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Rabb alam ini. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang pertama (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)". [al-An’aam 6:162-163]
(3) Akan Tetapi… Persoalan pujian.
Bolehkah kita meminta pujian daripada manusia?
لاَ
تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَواْ وَّيُحِبُّونَ أَن
يُحْمَدُواْ بِمَا لَمْ يَفْعَلُواْ فَلاَ تَحْسَبَنَّهُمْ بِمَفَازَةٍ
مِّنَ العَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
"Janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan, dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan, janganlah kamu menyangka bahawa mereka terlepas dari siksa dan bagi mereka siksa yang pedih’ (ali-Imran : 188)
Ayat ini sebenarnya diturunkan kepada golongan munafiq dan ahli kitab yang selalu menginginkan perhatian Rasulullah saw. Kononnya merekalah asal manusia yang berpegang dengan agama tauhid. Mereka mengatakan merekalah yang layak mendampingi Rasulullah saw dan bukannya golongan penyembah berhala jahiliyyah Quraisy. Inilah antara sebab Abdullah bin Saba’ mengasaskan fahaman Syiah apabila beliau tidak berjaya mendapat perhatian Khalifah Saiyidina Uthman ra.
Walaubagaimanapun kita dibolehkan meraih perhatian masyarakat terhadap organisasi kita. Kerana organisasi Islam adalah lambing dan syiar kemegahan Islam itu sendiri. Memang akan terdapat manusia di dalam jamaah itu yang akan berbangga dan riya’ dengan usahanya, akan tetapi keperatusannya amatlah sedikit berbanding dengan pujian individu.
Bagaimanakah sekiranya kita menunjukkan amal kita agar dilihat orang ramai?
إِن
تُبْدُواْ الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا
الفُقَرَاء فَهُوَ خَيْرٌ لُّكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ
وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
"Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang faqir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan –kesalahanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan" [al-Baqarah : 271]
Disini kita melihat Allah tidak mecela amal yang ditunjuk orang. Tiada seorang manusiapun yang boleh membaca tahap riya’ atau keikhlasan manusia lain. Maka lantaran itulah amal yang dipertontonkan tidak boleh diklasifikasikan sebagai riya’ atau syirik kecil. Malah, amal yang mewakili organisasi Islam wajar dipertontonkan agar menjadi contoh, syiar dan method dakwah yang efficient.
No comments:
Post a Comment