Saturday, 11 May 2013

DOA NABI... Tanda mencintai isteri, namun lebih lagi cintanya pada ummat!!!

"Abang, doakan saya ya..." Begitulah terjemahannya ayat Saiyidatina Aisyah kepada baginda Rasulullah saw, andai diterjemah ke dalam bahasa rumahtangga kita hari ini. Ayuh kita telusuri nota cinta dari sirah dari hadith ini....cinta baginda Nabi Muhammad saw kepada ummatnya, yang dinukilkan melalui sirah rumahtangga baginda dengan Saiyidatina Aisyah.

Dikeluarkan oleh al-Bazzaar bersumber daripada 'Aisyah r.ha., katanya: Tatkala daku lihat Rasulullah s.a.w. itu elok keadaan diri baginda, lalu aku berkata, "Ya Rasulullah s.a.w.! Berdoalah kepada Allah untuk (kebaikan) saya!" 

Lalu baginda terus berdoa, "Ya Allah, ampunkanlah bagi 'Aisyah segala dosanya yang lalu dan dosanya yang akan datang, dosanya yang tersembunyi mahupun yang nyata." 

Lalu ketawalah 'Aisyah r.ha. dengan bersangatan (gembiranya) sehingga tertunduk-tunduk kepalanya disebabkan ketawa itu.

Maka Rasulullah s.a.w., "Adakah doaku itu membuatkan engkau gembira?" 

Jawab 'Aisyah r.ha., " Masakan doa mu itu tidak menggembirakan saya?" 

Maka bersabda Rasulullah s.a.w., "Demi Allah! Sesungguhnya itulah doaku kepada umat ku di dalam setiap solat ku." 

[al-Haithami berkata: Periwayat-periwayat hadith ini adalah periwayat yang boleh diterima melainkan Ahmad bin Mansur ar-Ramaadiy yang merupakan seorang yang bertaraf thiqah (amat dipercayai)] 

* Kitab Hayatus-Sahabah Juzuk ke-3.

Begitulah tandanya cinta. Saat kita mengingati seseorang, pasti kita akan selalu mendoakannya. Doalah satu-satunya hadiah yang tak perlu berbayar, tak perlu berpenat lelah menyediakannya, hanya memerlukan ingatan dan keikhlasan. 

Rasulullah s.a.w. ketika melihat begitu gembira dan girangnya Saiyidatina Aisyah kerana mendapat doa yang sedemikian, walaupun hanya untuk sekali doa sahaja, terus baginda menyatakan, bahawa doa yang sama itulah yang menjadi kelaziman baginda untuk berdoa kepada umat baginda. Bukan hanya sekali, bahkan berkali-kali dalam sehari.

Itulah tanda betapa besarnya ingatan baginda kepada kita ummatnya, tanda betapa besar kasih dan cinta baginda kepada ummatnya. Oleh yang demikian, cuba kita bertanya kepada lubuk hati sanubari kita, sejauhmanakah kita menghargai cinta Rasulullah saw ini? Sejauhmanakah kita bersungguh-sungguh untuk membalasnya? 

Cerita cinta ini tidak pernah berakhir. Walaupun Rasulullah telah wafat, tetapi harum dan sinar cinta baginda sentiasa bersama umat ini. Selawat dan salam kita tetap disampaikan kepada baginda di alam sana. Amalan kita dibentangkan kepada baginda dan doa baginda sentiasa bersama kita.

Sedarkan hati kita berkenaan ikatan ini, dan marilah kita usahakan agar kehidupan kita menjadi semirip mungkin dengan kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w.! 

Saya tak pernah serik dan malu meminta suami mendoakan saya, kerana betapa inginnya saya membayangkan saat Baginda Nabi saw menyahut permintaan Saiyidatina Aisyah, betapa inginnya saya membayangkan wajah gembira Nabi ketika melihat isterinya gembira, dan betapa inginnya saya merasai cinta Nabi saw terhadap saya, yang mendoakan saya (antara ummatnya) di saat baginda bersama isteri sendiri.

Allahu Allah... saya akan selalu meminta dan mengemis doa dari orang alim, para habaib, apa lagi dari suami sendiri, meskipun dia pernah mengucapkan, "Perlukah kita bagitau pada orangtu kalau kita dah doakan dia... Doa yang dirahsiakan tu lebih maqbul". Tak kiralah, demi kecemburuan saya pada Saiyidatina Aisyah, saya akan teruskan tabiat ini, agar cinta dan ingatan saya pada baginda Nabi terus dan terus membuah mekar harum mewangi selamanya....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis