Saturday, 29 September 2012

Bersabarlah... Sabar itu sebahagian iman!!! (PART 2)

Apabila dikatakan sabar itu sebahagian daripada iman, maka bukanlah sabar itu satu perkara yang kecil. Apa sahaja yang bersangkutan dengan iman, ia bukan perkara enteng. Betapa besarnya sabar ini, sehingga Allah menyebutnya sebanyak lebih daripada 90 kali di dalam al-Quran.

Meskipun maqam redha lebih tinggi berbanding sabar, namun tidaklah bermakna sabar itu rendah maqamnya. Mungkin, untuk membincangkan tentang redha itu kita masih terlalu jauh, dan ganjaran redha itu tiada apa lagi melainkan redha jugalah balasannya, yakni keredhaan Allah. Hidup manusia ini, tiada apa lagi untuk dikejar melainkan keredhaan Allah. Maka wajarlah, tiada ganjaran lain sebesar istana mahupun segunung intan, ataupun seluas syurga, kerana keredhaan Allah adalah sebesar-besar dan seluas-luas ganjaran buat kita yang bergelar hambaNya. Keredhaan Allah mencakui seluruh tingkatan syurganya beserta kenikmatan yang ada di dalamnya.

Justeru, yang kita bincangkan di sini bukanlah redha, tetapi sabar. Meskipun sabar sedikit rendah berbanding redha, namun Allah masih menjanjikan ganjaran yang sangat tinggi, kerana orang yang sabar dengan ketentuan Allah, tetap akan berasa sakit dengan ujian yang menimpanya, dia tetap berasa sedih, rasa malu, rasa terhina, atau apa saja kesakitan yang ditanggung oleh perasaannya...

Namun, meskipun kesakitan yang dia rasakan, dia telah bermujahadah dengan dirinya agar tidak mengeluh, tidak merintih, tidak mengadu-ngadu kepada manusia, tidak meminta-minta kepada manusia, tidak menagih simpati makhluk, serta tidak mencabar atau menolak ketentuan Tuhan itu dengan sesuatu tindakan yang boleh mendatangkan dosa. 

Oleh kerana orang yang bersabar itu masih menanggung rasa derita, namun dia tetap menjalani taqdir hidupnya dengan sabar, justeru itulah Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah mengganjarkan mereka dengan ganjaran yang amat besar dan tinggi nilainya... Hanya saja ganjaran itu adalh untuk akhirat, maka manusia tidak melihatnya, dan apabila tidak melihatnya, maka manusia tidak "menghargainya"...

Maka.... rugilah manusia-manusia itu (termasuk diri saya), kerana "tidak memilih untuk bersabar" dalam menjalani setiap taqdir kehidupan mereka...


Link yang berkaitan:
- SABAR. Nabi Allah Yaakub as dan Saiyidatina Aisyah ra.
- Bersabarlah... Sabar itu sebahagian iman!!! (Part 3)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis