Thursday, 27 September 2012

Bersabarlah... Sabar itu sebahagian iman!!! (PART 1)


Masih ingat zaman persekolahan suatu masa dahulu. Tak pasti adakah ia majlis di sekolah kebangsaan, atau sekolah agama petang, yang pasti aku termasuk kumpulan yang diminta mempersembahkan nasyid untuk satu majlis yang dianjurkan. Aku masih ingat, nasyid yang aku dan rakan-rakan pilih ialah "Sabar Itu Istana Iman". Tapi, kini, aku hanya ingat intronya saja... "Sabar itu... istana iman... demikianlah indah... madah pujangga... jadikan ia... sebagai pegangan... lalalalala- dah aku tak ingat lagi lirik seterusnya.

Betullah, ia adalah istana iman, kerana harga sebuah kesabaran itu terlalu mahal. Mudah dituturkan, terlalu sukar dipraktikkan. Makanya, aku menulis tajuk ini kali ini, adalah untuk memberi peringatan untuk diri aku sendiri. Aku selalu menjadi tempat orang mengadu masalah, tapi aku benar-benar tak pandai nak bagi kata-kata semangat atau kaunseling. Aku hanya mampu meminta mereka bersabar, itulah aku yang tak pandai nak memberi sokongan atau kata-kata semangat seperti orang lain. Tetapi, sesekali pabila aku mengadu masalahku kepada orang lain, mereka pula meminta ku bersabar. Justeru, sedarlah aku, bahawa diri aku sendiri kurang sabar, bagaimana dengan senang aku meminta untuk orang lain bersabar.

Pernah seorang sahabat bertemu Murabbiku, lalu mengadu tentang kisahnya yang digantung tak bertali oleh suami selama lebih 3 tahun, tidak pernah bertemu, tidak pernah memberikan nafkah zahir apatah lagi batin. Pun begitu, dia masih mencintai suaminya, dan berharap suaminya akan kembali ke sisinya. Namun orang sekeliling selalu menasihatinya agar memohon fasakh dan melupakan suaminya. Lalu Syekhna mengatakan, maksudnya, "Kamu boleh memilih duniamu atau akhiratmu. Kedua-duanya hakmu. Untuk duniamu, di sisimu ada syariat, kamu mempunyai hak yang sangat kuat untuk memohon fasakh, namun kalau kamu bersabar dan memilik akhirat, di sisimu ganjaran yang sangat besar."

Atas kesedaran itulah, aku ingin mendalami ilmu sabar, mengetahui erti dan tuntutan sabar menurut agama, dan menggali hakikat sebenar sabar yang tersembunyi. Dan pasti, aku ingin berkongsikannya dengan yang lain! Bukankah untuk berbuat sesuatu kita memerlukan ilmu. Hanya ilmu yang mampu menyampaikan kita kepada sesuatu. Mungkin, dengan mengenali dan memahami hakikat sabar, mengupaakan kita untuk lebih mempraktikkannya. Selama ini, kita hanya tahu sabar itu sebahagian iman, siapa sabar dapat pahala, tetapi kita tak pernah tahu, saat mana kita harus bersabar, adakah ganjaran sabar untuk kehidupan dunia atau akhirat, benarkah sabar ada hadnya, dan benarkah berusaha itu tidak menafikan sabar.

Terlalu banyak ganjaran sabar yang masih tersembunyi, dan harus digali untuk memotivasikan kita agar berjaya memparktikkan SABAR!

*Aku menulis tentang sabar, di saat aku rasa aku dah tak mampu nak bersabar, agar dengan itu, aku masih terpimpin, dan tidak hanyut dengan perasaanku...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis