Sunday, 3 June 2012

NILAI DOA DI SISI ALLAH... Berdoalah, ianya ibadah yang sangat mudah...


Doa tanda kehambaan...
HIDUP ini bukan sekadar menikmati kegembiraan yang sedang kita kecapi, hidup ini bukan sekadar melalui jalan yang sedia terbentang di hadapan kita, hidup ini adalah untuk mengingati Allah sepanjang masa, dan menyedari bahawa kita adalah hamba yang sedang menumpang di bumi-Nya. Bermula daripada terbukanya mata di pagi hari, hinggalah memejamkannya semula di malam hari. Namun, dalam kesibukan dunia yang menuntut kita melaksanakan tanggungjawab harian, selain daripada masa yang digunakan untuk mendirikan solat 5 waktu, kita kadangkala seolah-olah tak punya masa untuk mengingat Tuhan, sama ada mengingatiNya di dalam hati, ataupun menyebutnya dengan lisan. 

Kerana itulah, Rasulullah saw mengajarkan kita doa untuk setiap perlakuan harian kita, agar dengan itu, kita akan mengingati Tuhan dalam setiap tindakan kita. Bermula dari bangun tidur, kita diajarkan dengan doa, kemudian doa untuk masuk tandas, doa keluar tandas. Lalu untuk makan kita diajarkan lagi doa, doa lagi selepas makan. Selesai wudhuk membaca doa. Bersiap untuk ketempat kerja kita diajar membaca doa ketika melihat cermin, berdoa ketika ingin memakai baju, berdoa ketika melangkah keluar, berdoa tatkala menaiki kenderaan. Doa ketika ingin memasuki rumah, hinggalah berdoa tatkala kita ingin memejamkan semula mata kita di saat ingin tidur. Tetapi, adakah kita mengambil berat akan doa-doa yang diajarkan baginda? 

Adakah doa hanya untuk kanak-kanak???
Kita melihat, anak-anak yang dihantar ke tadika, ke sekolah, selalu pulang dan membaca macam-macam doa yang baru mereka pelajari di sekolah. Kita seronok apabila mereka mampu menghafal doa-doa tersebut. Kita terhibur apabila mendengar suara mereka berdoa dengan maknanya sekali, sesekali tersasul dan tersalah baca membuatkan kita ketawa. Kita bangga apabila mereka memasuki pertandingan membaca doa-doa mewakili sekolah mereka. Sedarkah kita, adakah doa itu hanya mainan untuk kanak-kanak seusia mereka? Adakah doa itu sekadar untuk dihafalkan bukan untuk diamalkan? Adakah doa itu sekadar untuk dipelajari bukan untuk dihayati? 

Seronoknya berdoa bersama anak-anak...
Pelajarilah, hafallah, amalkanlah, dan hayatilah..... Pelajarilah maknanya, agar di saat kita berdoa, kita tahu apa yang kita ucapkan, agar kita dapat menghayati maknanya. Sedarlah, hidup kita ini adalah untuk mengingati Allah sepanjang masa. Ajaklah seluruh ahli keluarga untuk sama-sama mengamalkannya. Insya Allah, andai kita membiasakan diri kita dengan berdoa dalam  setiap tindakan yang kita lakukan, kita akan selalu tersedar dari kelalaian dan akan sentiasa teringat akan Tuhan Pencipta kita. Islam itu adalah agama dan cara hidup, Islam itu fitrah, hiduplah dalam suasana Islam, dalam suasana yang hati kita sentiasa mengingat akan Tuhannya....

Percayalah, hidup kita akan berasa indah andai kita melaksanakan doa-doa ini. Cubalah sekali, anda menadah tangan di depan pintu bilik air sebelum melangkah masuk, cubalah sekali, anda menadah tangan sebelum memulas kunci kereta untuk start enjin. insyaAllah, anda akan merasakannya!!! 

Merasai indahnya hidup bersama Tuhan.................................



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis