Friday, 9 September 2011

MODEM SIERRA. Dari Low Yat Ke Indonesia...


Setiap floor telah kujejaki, namun hampa!!!

PADA AKU, Plaza Low Yat bukanlah syurga bagi si penggila gajet seperti yang digembar-gemburkan. Barang yang sebegitu hebat menjadi pilihan pengguna seantero dunia tiada dijual di Lowyat Malaysia! Tak masuk dek akal... Ada dua kemungkinan di sini. Pertama, mungkin kerana penduduk Malaysia agak jumud, terlalu terikat dengan syarikat pembekal broadband yang menyediakan pakej broadband beserta modem mereka sendiri.  Mereka tidak mengambil tahu tentang prestasi modem yang diberi sama ada baik atau tidak. Jadi, kalau ada penjual yang menjual Sierra ni, mungkin mereka boleh bankrup kerana tiada pembeli, agaknya lah. Kedua, mungkin juga kerana penduduk Malaysia sudah terlalu hebat terbuka, kerana ramai yang sudah menggunakan iPad atau Samsung Galaxy Tab yang lebih hebat daripada penggunaan broadband biasa oleh laptop atau netbook. Tetapi, walau apapun alasannya, Lowyat sebagai pusat segala peralatan IT, seharusnya ada menyimpan simpanan stok  untuk gajet ini walaupun sedikit.

Oleh kerana tiada di Lowyat, maka aku pula tiada pilihan lain selain mencari di Internet.  Apalagi, meng"google"lah aku seharian. Oh, sekali lagi hampa. Yang aku jumpai hanyalah forum dan blog-blog membincangkan tentangnya, tiada satu pun website yang menawarkan barangan tersebut untuk dijual..... di Malaysia! Sebaliknya, beratus-ratus iklan menjual modem tersebut adalah dari web dan blog dari Indonesia. Nah, "what say you?". Aku hanya mampu garu kepala. Disebabkan "penyakit mengidam" aku yang dah menggila ni, maka akupun hantarlah sms kepada beberapa pemilik toko gajet di negara jiran kita itu bertayakan harga, dan bagaimana cara untuk memesannya. Sehinggalah keesokan paginya, sebelum aku ingin membuat transaksi pembelian daripada seorang penjual dari Indonesia, aku tergerak hati untuk mencarinya di LELONG.COM.  Waaaahhhh... berderet gambar modem Sierra yang aku cari!!! Hahaha, salah aku lah kan, yang aku pergi menggoogle tu buat apa, dah sah-sah nak cari barang, sepatutnya pergilah terus ke laman web yang menjual barang. Mengaku sebagai penggila gajet, tetapi tidak bijak untuk mencari dan membeli secara online, terasa malu pula pada diri sendiri. 

Oh ya, di sini aku ingin mengambil kesempatan untuk memuji sedikit negara jiran kita, Indonesia. Sebenarnya, dari sudut pendidikan, mereka sangat hebat dan tidak keterlaluan kalau aku nyatakan, mereka agak terkehadapan berbanding kita. Hanyasanya mereka mempunyai masalah dari segi ekonomi, namun itupun adalah berpunca daripada pentadbiran yang tidak dinamik dan telus. Kalau di bidang pengajian Islam, jujur aku katakan, penguasaan mereka lebih baik daripada mahasiswa negara kita. Kalau di Mesir misalnya, pelajar Indonesia selalu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Pelajar Master di Universiti Kebangsaan Malaysia UKM (zaman aku), kalau pelajar Malaysia, terlalu sedikit yang boleh menguasai Bahasa Arab, sedangkan pelajar Indonesia pula bagaikan bertih jagung bila mereka berbual dengan para pensyarah menggunaka bahasa al-Quran itu. Jauh sangat, bagai langit dengan bumi. Itu baru berbicara tentang Pengajian Islam, belum lagi bidang kedoktorannya, rasanya tak perlu diceritakan lagi. Bahkan mereka juga terkehadapan dalam bidang teknologi dan ketenteraan.

Buktinya, lihat saja pengalam aku mencari modem Sierra ini, lambakan yang dasyat di negara mereka. Aku juga taknaklah bandingkan kelengkapan ketenteraan kita dengan mereka. Kalaulah rakyat kita tahu, mungkin tak tidur malam rasanya memikir perbezaan itu. Justeru, jujur aku menyeru kepada rakyat Malaysia dan juga Indonesia, berbaiklah kita sesama rumpun. Andai sebuah negara Arab diserang, ada banyak lagi negara Arab lain di sekeliling mereka. Tetapi andai kita diserang, kita hanya ada satu  sahaja jiran sebangsa... Alangkah indah kalau kita dapat saling berbagi / berkongsi ilmu dan mempereratkan persaudaraan.

Berbalik kepada modem Sierra, oleh kerana aku telah menemukannya di lelong.com, maka aku membatalkan niatku untuk membeli dari gedung Indonesia itu. Tetapi, dalam "kemajuan" aku, ada juga "kemundurannya". Aku telah memilih modem Sierra keluaran agak lama, SIERRA AT&T AIRCARD 875U, sedangkan Sierra telah mengeluarkan modem USB Stick yang lebih hebat.

Bagaimana kisah pembelian aku seterusnya? Dan adakah aku berpuas hati dengan prestasi gajet terbaru aku ini? Nantikan posting berikutnya...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis