Monday, 22 August 2011

MODEM SIERRA & SI PENGGILA GAJET. Mechanical Sharpener

Mechanical sharpener, atau nama
glamornya.. "pengasah ais kacang" ;-)
TERLEWAT. Mungkin itu yang aku rasakan saat terjumpa tentang promo-promo modem sierra ini. Manakan tidak, di forum-forum atau blog, perbincangan tentang modem ini rata-ratanya berlaku pada tahun 2008-2010. Tiada perbincangan terkini tentang modem ini. Jadi aku rasakan seolah-olah aku ini ketinggalan zaman. Ingin saja bertanya pada ahli-ahli forum di mana aku boleh dapatkan modem ini, tapi malu pula rasanya kerana forum mereka sudah terhenti perbincangannya bertahun lalu. Teruja aku bila terbuka sebuah blog seorang pendakwah muda, ada mempromosikan tentang modem ini, malah ditangannya ada beberapa unit lagi untuk dijual. Tetapi disaat jariku ingin mendail no hp yang tertera, baru aku terpandang tarikh posting blognya, 3 tahun lepas! Aku terkedu lagi.

Aku bernekad, aku mesti mendapatkannya meskipun terlewat! Akhirnya, aku mengambil bas ekspres dari kampungku menuju ke ibu kota Kuala Lumpur, dan aku memilih bas StarMart kerana bas tersebut akan lalu di hadapan Low Yat, tujuan destinasiku. Aku memang penggila gajet dan barangan pelik sedari muda. Sesekali bila aku kenangkan balik, terasa seperti membazir pula. Tapi apakan daya, seorang yang gila tidak mampu memikirkan baik buruk sesuatu di saat "gilanya" datang menyerang.


Barangan dulu yang teguh,
dibuat daripada besi
Masa darjah 1, mungkin waktu itu aku belum mengenali barangan IT, maklumlah kanak-kanak sezaman aku pada tahun 80-an belum terdedah seperti kanak-kanak zaman sekarang. Tetapi, aku telah terjumpa sejenis pengasah / peraut pensel (pencil sharpener) seperti pengisar ais kacang, kita hanya perlu memasukkan pensel ke dalam lubang yang disediakan, dan memutar pemegang di tepinya, hingga pemutar itu berasa ringan, bermakna pensel kita telahpun tajam. Aku bertekad untuk memilikinya, dan akhirnya, aku meminta benda itu sebagai hadiah dari ibu kerana rajin berpuasa (biasalah, ibu bapa selalu janji nak bagi hadiah pada anak kecil sebagai galakan untuk berpuasa). Walaupun niatku berpuasa bukanlah untuk hadiah, tetapi oleh kerana ibu telah menawarkannya, maka aku harus mengambil peluang itu. Kata pepatah, rezeki jangan ditolak!


Pengasah hari ini - lebih menarik,
tapi kurang daya tahan. 
Aku masih ingat, harganya RM30! Bayangkan, dengan duit sebanyak itu, aku boleh membeli 100 biji pengasah biasa. Tapi aku puas hati. Sejak dari itu, aku, kakak, dan saudara-mara yang datang selalu saja menggunakannya. Bahkan, ada yang sengaja mematahkan pensel mereka yang sudah sedia tajam, semata-mata kerana ingin menggunakan pengasah ini. Sambil mengasah, sambil berangan buat ais kacang, begitulah budak-budak. Tetapi hari ini, pengasah sebegitu telah banyak dipasaran, malah dijual dengan harga yang sangat murah, hanya beberapa ringgit sahaja. Bezanya, barangan dulu dibuat daripada besi, agak berat, dan pengasah hari ini dibuat daripada plastik dan ringan. Dan perbezaan yang lebih ketara, yang dulu tahan lama (pengasahku masih elok hingga kini), dan yang sekarang sangatlah tidak mampu bertahan (pengalaman adik-adik saudara: ada yang patah, ada yang tercabut, ada yang retak, dan seumpamanya).

Itu hanya salah satu contoh... Banyak lagi barangan ganjil (pada zaman dan usia aku) tetapi aku menjadi pengumpul setia barangan-barangan itu. Hobi ini rupanya terus mengikut aku hingga aku dewasa. Oleh kerana aku seorang "penggila gajet / barangan pelik", sudah tentulah aku tak dapat berfikiran waras di saat melihat benda-benda tersebut. Aku selalu menurut kata hati untuk membeli dan memilikinya, tanpa memikirkan kepentingan atau kewajaran harganya. Seringkali aku puas dan bangga apabila dapat memilikinya, namun tidak kurang juga perasaan ralat, kecewa dan menyesal atas kesilapan aku dalam membuat keuptusan atau pemilihan. Itulah risiko seorang penggila...

Setelah hobi itu semakin lenyap dari diri, tiba-tiba modem Sierra ini kembali menghangatkan hobi lamaku itu. Kegilaanku kembali menjelma... Ohhh, berapa banyak masa dan wang ringgit yang aku habiskan untuk mencari si Sierra ini, dan saat menulis posting ini, aku sedang menunggu Sierraku dihantar oleh penjual online. Adakah selamat sampai??? Entah. Tawakkal saja.  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis