Monday, 4 July 2011

ANXIETY. SAAT AKU BERUSAHA MELAWAN

A friend in need is a friend indeed..
Nilai sahabat sejati tidak mampu
di nilai dengan mata kasar...
SATU MASA DAHULU, aku sangat menderita menghadapi saat-saat ketakutan itu menjelma dalam kehidupanku. Penderitaan itu sangat mengerikan. Tiada siapa yang tahu, tiada siapa yang faham. Aku cuba untuk memahamkan, tetapi tiada siapa yang ingin memahami. Aku sering dipersalahkan atas ketidakupayaan aku sendiri. Akibatnya, aku menderita menghadapinya seorang diri. Aku tidak mahu salahkan sesiapa, perkara baru tanpa pendedahan, memang sukar untu manusia terima. Aku bersyukur kerana aku masih ada  sahabat baik yang sangat memahami walau apapun keadaanku. Terasa benar betapa besar hikmah Sayyidina Abu Bakar menjadi sahabat karib Rasulullah saw yang sentiasa membenarkan baginda meski datang saat ramai yang tidak mempercayai baginda seperti dalam perintiwa Israk Mi'raj. Sahabat seperti itulah yang memberi kita kekuatan dalam menghadapi dugaan hidup yang jauh dari keluarga. Selain dia, aku hanya ada Dr. Tuti yang merawatku! Hanya mereka yang mempercayai aku.

Aku menjalani rawatan bulanan dengan Dr. Tuti. Pada peringkat awal, aku diberi rawatan dalam bentuk ubatan bagi meneutralkan kimia yang tidak seimbang dalam otak. Aku diberi dos yang agak tinggi, juga sejenis ubat "emergency", segera telan kalau mula timbul rasa cemas / takut. Selain kaedah perubatan, kami juga dirujuk kepada unit kaunseling untuk diajar cara bernafas ketika diserang anxiety, juga cara duduk, cara berfikir, dan banyak lagi. Namun Dr. Tuti nasihatkan untuk peringkat pertama ini, seboleh-bolehnya elakkan daripada sebarang masalah atau apa saja perkara yang boleh mendatangkan masalah, elakkan daripada bertemu siapa saja yang aku tidak suka atau benci, dan elakkan, elakkan, elakkan, sehingga apabila aku telah ambil ubat beberapa lama dan Dr telah ajar banyak perkara serta yakin dengan aku, barulah aku akan berpindah ke peringkat seterusnya iaitu cuba mendepani cabaran, dengan bimbingan Dr, dan pastinya juga dengan sokongan sahabat karibku.

Namun, sebaik sahaja Dr mengatakan bahawa aku perlu makan ubat itu seumur hidup, tidak boleh berhenti tanpa arahan doktor sekurang-kurangnya untuk 3 tahun, dan setelah aku dapati (daripada pencarian maklumatku) bahawa ubat itu bisa ketagih dan dosnya semakin meningkat usia makin tinggi, aku bertekad untuk berhenti! Aku taknak merosakkan diriku. Dr Tuti selalu ingatkan aku untuk banyakkan pergantungan pada Allah untuk mencapai kesembuhan ini, dan beliau juga pernah syorkan aku membaca buku Jangan Bersedih karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni. Justeru, aku membuat andaian aku mampu untuk sembuh tanpa meneruskan rawatan, aku bertekad dan yakin. Lalu aku meninggalkan Dr Tuti tanpa pamit.

Tetapi tetaplah manusia it lemah tak mampu lakukan apapun tanpa izin Allah. Aku mengharungi hari-hari dalam hidup yang sangat berantakan. Ada waktu yang mampu aku harungi, ada waktu yang  aku rasakan tak mampu lagi untuk diteruskan. Aku bukan ingin membuka aibku sendiri, tetapi aku cuba untuk mengajak orang lain memahami bagaimana serangan ketakutan itu, hingga setiap kali naik kenderaan aku berdoa agar kenderaan itu ditimpa kemalangan. Aku tak memohon untuk mati, tapi aku mohon agar aku terlibat dalam kemalangan dan hilang ingatan, agar aku tak terbeban dengan taklifan dunia ini lagi. Aku tahu itu salah dan aku sentiasa bertaubat bila kembali dalam keadaan sedar sepenuhnya. Tetapi aku juga tak mampu nak luahkan atau mengadu pada sesiapa, kerana tiada siapa yang cuba untuk faham bila aku mula buka mulut.

Akhirnya, aku berjaya untuk hidup sampai ke hari ini, tetapi dengan setelah pelbagai kegagalan, kesedihan, kehancuran yang aku lalui... keperitan menanggung "anxiety" itu. Bayangkan saat anda takut atau ingin lari dari sesuatu masalah, itulah yang saya rasai tetapi dengan ketakutan 1000 kali ganda anda... Cuba anda paksakan anak anda yang takut gelap, atau adik-beradik anda yang pemalu dan takut nak bertanya orang, atau anda paksa diri anda buat sesuatu yang anda tak suka takmahu atau tak mampu, begitulah keterpaksaan yang harus saya alami demi meneruskan hidup. Kerana itu di satu sudut aku menjadi pemberani dengan bermusafir kemana sahaja seorang diri, aku boleh bergerak tanpa duit walau sesen, aku boleh tidur di mana saja, rumah siapa saja yang tak dikenali ataupun di tempat awam yang terdedah, mudah mengecam jalan, dan pelbagai lagi upaya untuk menerus hidup.

Akhirnya, inilah aku sekarang. Rupanya aku telah berjaya melalui peringkat yang Dr Tuti kata perlu ambil masa, iaitu "mendepani ketakutan" untuk kuat menghadapi ketakutan. Bohonglah kalau aku katakan aku telah sembuh sepenuhnya dengan begitu mudah. Penderitaan itu masih ada, namun aku semakin kuat menghadapinya. Alhamdulillah Allah beri kekuatan dan jalan untuk aku tenang dan tabah, meskipun ada masa-masa aku tetap kalah dan terpaksa melalui sakitnya "takut" itu. Ya setelah berpenat-lelah berhempas-pulas menderita, kini aku hidup semakin bahagia dan tabah, semakin kuat dan berani, semakin tenang dan matang. Aku bersyukur meninggalkan kelemahan itu hanya sebagai sejarah hidup, yang kalau boleh tak mahu kenang lagi walau sesaat. Ya, aku belum sembuh, tapi aku dah berhasil mengawalnya dengan izin Tuhan...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis