Friday, 10 June 2011

RINDU ATIQAH DAN ABDULLAH BIN ABU BAKAR. TAULADAN RINDUKU (bah 2)

Cinta perlukan mujahadah...
Meneruskan cinta, meninggalkan cinta,
kedua-duanya akan diuji...
(bersambung)

Hari ini, telah berlalu beberapa hari. Mujahadahku masih tinggi. Aku akui, aku manusia lemah, kerana itu perlu mujahadah yang tinggi. Kalaulah hatiku telah kuat dan redha peringkat tertinggi, pasti aku tidak perlu lagi untuk bermujahadah. Kalau diikutkan hati memang mati. Tapi aku masih ingat pesannya, kalau saat jiwa lemah, ikutlah pertimbangan akal fikiran yang waras, jangan ikut asakan emosi yang melulu. Aku akan sentiasa ingat setiap pesanannya dalam menjalani hidup ini. Dia telah banyak mendidik aku, dan aku tidak akan abaikan walau satupun pengajaran yang aku dapati sepanjang "di bawah didikannya".

Aku akui, setiap hari tiada lagi saat aku menantikan panggilan daripadanya, setiap hari tiada lagi rasa rindu untuk mendengar suaranya, aku bersyukur kerana aku mampu menghadapi hari-hari baruku tanpa gangguan emosi yang menyukarkan. Namun, tetap saja manusia itu lemah. Apabila berlalu hari Jumaat yang penuh ketenangan, saat tiba waktu malam untuk menutup hari yang penuh indah, perasaan sebak yang tidak tahu dari mana datangnya, sangat mengcengam jiwa. Mungkin kerana Jumaat terlalu istimewa bagi diriku. Siangnya adalah hari aku menyuburkan rindu buat insan paling istimewa, Rasulullah saw, dan aku selalu berusaha menanam rindu yang sama dalam hatinya. Tapi kini, tiada lagi perkongsian rindu antara kami. Mungkin kerana itu, ada rasa sayu yang sangat dalam merebak dari dalam lubuk hatiku.

Saat semua telah melelapkan mata, aku berjalan perlahan munuju ke bilik belakang. Aku memasuki bilik yang gelap itu tanpa membuka lampu. Dalam kegelapan bilik yang samar-samar dengan cahaya lampu dari dapur, aku mencari beg laptop yang aku bawa pulang dari Kuala Lumpur. Aku membuka zip beg, lalu menarik perlahan-lahan sehelai baju yang sempat aku sumbat semasa kelam-kabut mengemas beg untuk pulang ke kampung beberapa hari lalu. Aku memeluk erat baju tersebut, dan terus berbaring di lantai tanpa melepaskan erat pelukanku. Aku mencuim baju tersebut, berkali-kali, sepuas hati, ada sesuatu yang hilang, ada sesuatu yang hilang.... Tiada lagi baunya, tiada lagi bau yang kurindu sebelum ini... Tuhan, adakah bau itu pergi bersama dirinya............

Nafasku semakin kuat, sayuku semakin dalam, sebakku semakin membuak, akhirnya...tangisku pecah! Aku menangis sepuas-puasnya, aku melepaskan rinduku semahu-mahunya, aku tidak mahu lagi menahan sedu-sedan itu, itulah rindu yang aku tahan selama seminggu, itulah rindu yang aku nafikan saban waktu, itulah rindu yang aku sembunyikan di sebalik keriangan dan kesibukanku. Aku wanita biasa, biarlah aku akui aku bukan wanita istimewa, aku hanya wanita biasa. Kuatku hanya kerana mujahadah, sedang hatiku hanya hati manusia yang lemah. Aku menyesal menjadi wanita kuat, aku menyesal menjadi wanita tabah, kerana tabahnya aku membuatkan dirinya juga tabah, kuatnya aku membuatkan dirinya juga kuat untuk pergi meninggalkan aku. Kalaulah aku wanita lemah, pasti dia juga berasa lemah dan memujukku untuk tidak meninggalkannya.... Malam itu, aku terlena di atas lantai tanpa alas dan bantal, hanya diselimuti "baju" pemberiannya, baju yang membaluti rinduku, baju yang menyelimuti sayuku....

(bersambung)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis