Thursday, 9 June 2011

RINDU ATIQAH DAN ABDULLAH BIN ABU BAKAR. TAULADAN RINDUKU (bah. 1).

Bersendirian tak bermakna keseorangan...
RUPANYA bukanlah sukar sangat untuk melupakan, begitulah yang ku fikirkan pada hari-hari terawal perpisahan ini. Patutlah dia pernah menyatakan, bahawa dia "sudah biasa" mengharungi perpisahan, dan perpisahan bukanlah perkara besar dalam hidupnya. Kalau terpaksa berpisah, mungkin sedihnya hanya sebentar, tetapi dia boleh menerima dan akan redha. Waktu itu, aku ingin protes cakapnya, terasa mudahnya dia menerima perpisahan, apakah kerana impiannya untuk bersamaku tidak sepenuh hati hingga dia begitu senang menerima kemungkinan untuk berpisah? Sedangkan harapanku padanya terlalu mendalam, bahkan menggunung. Atau juga, barangkali kerana dia pernah melalui saat-saat perpisahan beberapa kali dalam hidupnya, hingga dia telah berasa lali, sedangkan aku hanya ada sekali perpisahan yang benar-benar menyakitkan, dan aku tidak pasti adakah aku mampu menanggung sakit yang sama untuk kedua kalinya.

Tetapi hari pertama (Isnin) itu membuatkan aku berfikir, rupa-rupanya azam dan tekad yang kuat mampu membantu kita mencapai niat. Ya, setelah aku berazam dan bertekad untuk melepaskannya pergi, tiada setitispun air mata mengalir dari kelopak mataku. Juga tiada rasa sayu atau sedih. Bahkan aku berasa bangga, kerana aku bisa jadi seorang wanita yang tabah dan kuat, seorang insan hebat dan luar biasa. Aku berharap dia juga berbangga dengan kekuatanku ini, kerana saat dia melihat kelemahanku, dia selalu mengulang-ulang bahawa dia sedar rupanya aku juga wanita biasa, sama seperti wanita lain... Ya, tapi hari ini aku buktikan aku insan hebat, insan isimewa, aku harap dia berbangga denganku, kerana aku juga berbangga dengan diriku sendiri. Tiada sedih, bahkan tiada terkenang walau sedikitpun. Aku tidak menunggu sebarang panggilannya pada hari itu. Bahkan panggilannya di awal pagi itu terus saja aku abaikan tanpa ada apa-apa perasaan sedikitpun. Tetapi bagi manusia yang tercipta lemah, apakah kekuatan diri yang sebenar baginya? Kekuatan itu adalah mujahadahnya, bukan fitrahnya, kerana manusia itu fitrahnya lemah.

Begitulah, saat aku menguatkan zahirku, fitrah insaniku yang lemah masih ada di situ, dalam diri itu. Pada hari itu, aku pergi untuk menguruskan tempahan di Ampang. Aku hanya meletakkan kereta di stesyen komuter, lalu menaiki komuter dan lrt ke Ampang. Entah kenapa, diri berasa lesu meski hati dan fikiran sangat fokus terhadap kerja. Sesampai di Ampang, saat aku menunggu pakcikku untuk mengambil aku di stesyen Ampang, baru aku tersedar, aku hanya berlenggang!!! Beg dokumenku tertinggal dalam gerabak. Aku segera berpatah-balik, tetapi train telah pergi. Staf lrt yang ada di situ segera menelefon staf peronda dalam train tersebut untuk mencari beg merahku yang punuh dengan dokumen penting, nombor-nombor akaun yang pelbagai, wang tunai, LO, PO, DO, semua yang masih dan sangat penting! Kata mereka, jarang beg yang tertinggal ditemui kembali. Maha suci Allah, mereka dapat mengesannya, dan aku perlu mengambilnya di stesyen yang keempat dari stesyen Ampang. Alhamdulillah, kerja masih dapat aku teruskan.

Setelah perbincangan , confirmation, dan tandatangan semua dokumen, tiba masanya aku ke bank untuk keluarkan duit di atm, berkali-kali aku masukkan kad, dan setiap kali itu juga kadku ditolak. Aku cuba dengan mesin lain pula, masih sama. Akhirnya pengawal bank syorkan aku isi borang buat kad baru. Ya Allah, jam sudah pukul 4 lebih, sedangkan selepas ini aku perlu berkejar ke Chan Sow Lin pula untuk urusan di sana, dalam keadaan jalan yang sesak. Aku hampir putus asa dan malas untuk isi borang, serta ingin kutunda saja semua kerja hari ini ke hari esok. Tiba-tiba pakcikku mengambil kad dari tanganku lalu mengajak aku menuju ke mesin, Allahu Akbar, boleh pula meneruskan urusan dengan kad itu. Walhal tadi..... Saat itu buat aku terfikir, apa sebenarnya yang terjadi pada diriku? Aku berfikir sejenak, tetapi masih tidak pasti puncanya, namun aku terlintas, barangkali hati dan jiwaku masih belum kuat untuk menerima perpisahan ini, barangkali hati dan jiwaku masih merindukannya. Akal yang waras boleh menafikan dengan kekuatan mujahadah, tetapi hati yang dibaluti fitrah, tak mampu untuk menipu diri sendiri.

Justeru, untuk memberi sedikit kekuatan buat hati dan jiwa ini, lalu aku menelefonnya, hanya untuk sebentar, sekadar bertanya kabar. Aku menahan getaran suara yang keluar, terasa bagai berbicara dengan orang asing. Ada rasa bahagia, tapi segera kucantas rasa-rasa itu. Dari suaranya juga aku dapat menangkap perasaannya yang "keras",bagai tidak ada rindu dan kasihnya padaku. Barangkali kerana kerasnya hatiku memilih keputusan ini, membuatkan hatinya juga menjadi keras kerana rasa jengkelnya terhadap keputusanku. Dia cuma bertanyakan aku di mana, dan bertanyakan tentang sesuatu yang sangat berharga yang menjadi milik kami bersama. Dia tidak bertanyapun tentang kabarku.... dan, setelah percakapan yang tidak sampai seminit itu, aku bertanya di dalam diri, apakah benar dia kini telah melipat segala saat indah kami menjadi kenangan? Terasa bagai jawapannya "Ya!", maka akupun menanam satu lagi tekad, untuk belajar menerima sesuatu yang sangat pahit, bahawa mula saat itu, kami cuma sekadar sahabat, ya, menjadi sahabat baiknya seperti yang diminta. Aku mampu menjadi sahabatnya, aku mampu, aku mampu....
(bersambung) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis