Monday, 6 June 2011

MUKTAMAR 2011. SENDIRIAN

Pada hari terakhir muktamar, aku hanya memperuntukkan masa untuk berjalan-jalan di sekitar gerai jualan. Tetapi, suasana di muktamar ini benar-benar mencuit perasaanku. Sejuta impian yang menjadi kenangan kini menjelma kembali. Sewaktu melihat ada ibu ayah yang datang membawa bersama-sama anak mereka, itulah saat paling memilukan hatiku.
Dulu, aku pernah mengimpikan untuk pergi ke kuliahnya dengan membawa bersama-sama anak kami. Aku mahu memberi sokongan kepada suami agar lebih bersemangat ketika memberi kuliah, dan akan aku ucapan "terima kasih" setiap selesai pengajian, tanda terima kasihku untuk setiap ilmu yang disampaikannya. Aku juga mahu dia tahu bahawa aku sentiasa bersyukur mempunyai suami yang berilmu, dan aku tak mahu hanya membiarkan orang lain sahaja yang mendapat manfaat daripada ilmunya. Aku mahu anak-anak menjadikan bapa mereka sebagai guru pertama yang mengenalkan mereka kepada Allah dan RasulNya saw. Biarlah anak-anak menjadikan bapa mereka sebagai idola, sebagai guru yang disegani ketika memberikan kuliah, dan sebagai ayah sangat penyayang ketika berada di rumah. Semoga anak-anak akan menjadi pewaris ayah, mewarisi ilmu dan kemuliaan ayah. Tetapi itu adalah impian suatu masa dulu.

Aku juga mengimpikan untuk pergi ke majlis-majlis ilmu dan program jemaah bersamanya, dan bersama anak-anak kami. Biarlah anak-anak terdidik sebagai keluarga pejuang dan daie, biar mereka berhibur di pentas dakwah dan ceramah, biar mereka membesar dalam halaqah usrah dan zikir, biarlah taman permainan mereka adalah medan tarbiyah dalam mengingat dan menuju Allah. Tetapi segala impian itu kini hanya menjadi kenangan. 

Sayu hatiku melihat jubah-jubah lelaki yang cantik-cantik bergayutan di gerai-gerai jualan. Ingin sekali rasanya menyentuh dan membeleknya, tapi untuk apa? Ingin sekali hatiku membelinya, untuk dia, untuk dia, tapi untuk apa? Dia tidak lagi akan bersamaku. Tiada berguna lagi segala pemberianku. Melihat jubah kanak-kanak lelaki, aku membayangkan akan memakaikannya pada anak lelaki kami setiap kali dia mengikut ayah pergi mengajar, tetapi itu semua bayangan-bayangan yang semakin merosakkan jiwaku.

Dalam pada itu, aku singgah di satu gerai jubah muslimah. Sedang aku menjamu mata membelek-belek pakaian di situ, mataku tertancap pada seorang pengunjung gerai, lelaki, separuh umur, masih muda tetapi rasanya hampir tua, sedang asyik membelek-belek jubah wanita. Mataku benar-benar tertarik untuk memerhatikannya, kerana dia satu-satunya lelaki yang masuk ke gerai itu tanpa ditemani wanita di sisinya. Dia membelek-belek, memerhati, memilih, bertanyakan saiz, sungguh lama dan teliti. Sedikitpun dia tidak memperdulikan wanita yang ramai dan sesak di sekelilingnya, malah memilih dengan keterujaan dan sepenuh hati. Ternyata, rupanya dia sedang memilih jubah untuk dibelikan buat isteri tercinta. Hampir saja aku menahan air mata yang ingin mengalir.... Tuhan, aku terlalu merindukannya... Tulusnya cinta si suami yang sentiasa mengingati isterinya, membelikan sesuatu buat kekasih hati dengan sepenuh hati.

Meskipun dia tak pernah membelikan sesuatu khusus buatku, tapi dia sering berjanji untuk sama-sama berjalan dan membeli setelah kami menjadi suami isteri yang halal nanti. Meskipun dia tak menjanjikan untuk membeli yang mewah-mewah dan berjalan melancong ke tempat indah-indah, aku tetap bahagia menantikan saat itu, saat aku dapat berjalan dan memilih untuk membeli sesuatu bersama-samanya dengannya, berdua dengannya, meskipun hanya membeli di kedai kecil atau di kaki lima. Ya Allah, kenapa aku tak mampu lari dari bayangannya? Biarlah kekal begini, biarlah selamanya dia di ruangan kecil di hatiku, aku tak ingin mencampaknya jauh, aku tak mampu dan tak ingin...

Akhirnya, gerai terakhir yang aku singgah, adalah gerai minyak wangi. Kali ini, tak daya ku menahan perasaan, akhirnya aku membeli sebotol kasturi kijang putih untuknya.... untuknya... meski hanya akan tersimpan dalam laci almari, ia adalah untuknya!!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis