Wednesday, 8 June 2011

DARUL ATIQ. USTAZ GHAZALI HASBULLAH

SABDA RASULULLAH S.A.W Hadis riwayat Abdullah bin Masud ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Tidak ada hasad (iri) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang, yaitu terhadap orang yang Allah berikan harta, ia menghabiskannya dalam kebaikan dan terhadap orang yang Allah berikan ilmu, ia memutuskan dengan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang lain". (Shahih Muslim No.1352)

Bagi mereka yang  sempat menghadiri kuliah beliau, cara beliau bercakap dan bacaannya agak telor tapi lenggok bahasa dan bacaan serta raut mukanya mampu memikat hati orang melihat. Telornya mampu membuatkan hadirin menangis. Itulah berkat seorang Ustaz ahli ibadah ini.

Memasuki hari pertama bulan Rejab,di hari Jumaat yang mulia Ustaz Ghazali Hasbullah telah pun kembali menghadap Allah. Ustaz Ghazali Hasbullah meninggal di Hospital Selayang, Selangor lebih kurang jam 11.00 malam. Ustaz Ghazali Hasbullah atau lebih dikenali dengan panggilan abuyaa...mungkin tidak ramai yang mengenalinya, kecuali mereka yang mengenali perjuangan beliau melalui satu wadah yang diasaskan oleh beliau, iaitu Darul Atiq.

Semasa hayatnya, beliau dikenali dengan ketegasannya dalam menyampaikan kuliah secara telus tanpa rasa takut. Malah hilang rasa gerunnya kepada sesiapa sahaja selain Allah menyebabkan beliau pernah ditahan ISA. Tetapi yang lebih memberi kesan, kebanyakan kuliah beliau dipenuhi amalan berbentuk zikir. Beliau telah mengasaskan Darul Atiq di Kg. Melayu Rasa, Kuala Kubu Bharu semenjak 1982 yang mana sehingga kini beliau tidak pernah memohon secara rasmi bantuan daripada mana-mana pihak tetapi bantuan dan pertolongan Allah SWT sering menyebelahinya. Darul Atiq memerlukan RM1,000.00 sehari untuk keperluan seharian mereka.

Darul Atiq menempatkan golongan 'terbuang' seperti anak yatim, anak nakal yang tidak mampu dibela ibu bapa mereka atau atas sebab-sebab lain, anak tidak berkeluarga, remaja terlanjur, penagih dadah, janda-janda dan mereka yang ada pelbagai masalah lagi. Di sini Darul Atiq membimbing mereka dan membina peribadi mereka selaras dengan ajaran Islam.

Antara pesanan beliau yang sering diulang-ulang,  

"Tahajjudlah, kerana itu amalan Rasullulah. saw Dengan tahajjud wajah kita berseri, senang dunia dan dipermudahkan akhirat. Apa guna rumah besar, kalau kubur kecik?"

"Apa salahnya kita bagi derma lebih sikit. Asik-asik seringgit sahaja. Bagi lah sepuluh lima puluh ka. Hari-hari kita makan cukup, makan sedap. Korbanlah makan sehari dalam setahun untuk kita fikir dibelakang sana ada yang perlukan duit itu"

Kini Ustaz Ghazali telah meninggalkan perjuangannya kepada penyambung amanahnya untuk menjaga pusat ini di Batang Kali dengan melibatkan penghuni sakit mental, masalah akhlak, anak yatim, anak tidak beribu bapa dan orang tua. Manakala di satu kawasan lain ditubuhkan satu lagi Pusat Tahfiz dan pembelajaran khas untuk menyambung belajar di Timur Tengah. Malah lebih membanggakan apabila ia turut dibuka di Indonesia atas usaha beliau dan anak murid beliau yang dididik lama dengannya.

Walaupun perkenalan hanya seketika,  bayangan Arwah akan terus hidup bagi yang sempat mengenali beliau., apatah lagi bagi penghuni dan bekas penghunu Darul Atiq yang mendapat perlindungan dan bimbingan dari beliau tatkala orang lain membuang dan menghina mereka. Semoga Allah SWT membalas jasa baik beliau. Al-Fatihah dan Ya Siin buat tok guru kami...

<

Dikesempatan ini juga, saya secara peribadi MERAYU derma untuk Pusat Tarbiah Islamiyah Darul Atiq. Untuk berderma atau bersedekah kepada Darul Atiq, boleh berbuat sedemikian kepada:

Pusat Tarbiah Islamiyah Darul Atiq
Kg Melayu Rasa, Batu 341/2
44200 Hulu Selangor,Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-60574869,H/P: 019-3298799
Ustaz Sofar / Supar - 013-2736704

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis